26 April, 2010
Adat Resam Melayu Lama (Bab2)
Selepas lahir
Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.
Tanggal Pusat/Cuci Lantai
Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.
Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.
• Nasi kunyit dan lauk-lauk
• Seekor ayam hidup
• Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang
• Hadiah untuk bidan sepersalinan pakaian
Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.
Memberi Nama
Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.
Cukur Rambut/ Potong Jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.
1. Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
2. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.
Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih.
Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih.
Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.
Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup.
Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.
Naik Buai
Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung.
Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.
Jejak Tanah/Turun Tanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.
Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.
Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini juga boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.
Bersunat / Berkhatan
Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.
Artikel dari Warisan Budaya Malaysia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan