Pentingnya adat masyarakat Melayu jelas terlihat dalam peribahasa yang berbunyi Biar mati anak, jangan mati adat. Tatacara perlakuan dalam adat resam masyarakat Melayu banyak dipengaruhi oleh adat yang diwarisi dari budaya Hindu yang disesuaikan mengikut unsur-unsur Islam.
Adat ini dapat dilihat pada tiga aspek kehidupan iaitu:-
1. Adat resam kelahiran
2. Adat resam perkahwinan
3. Adat resam kematian
Adat resam Kelahiran
Pengenalan
Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, asyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.
Sewaktu mengandung
Melenggang Perut
Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan.
Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.
Peralatan untuk upacara ini termasuk:-
1. Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
2. Segantang beras
3. Sebiji kelapa
4. Beberapa urat benang mentah
5. Damar
6. Minyak kelapa atau minyak urut
7. Lilin
8. Tepak sirih yang lengkap isinya
9. Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.
Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya.
Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau.
Mengikut kepercayaan, daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.
Potong tali pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.
Azan/Qamat
Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.
Membelah mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.
Berpantang
Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.
Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan diseluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar atau direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.
Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang dilapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat. Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.
Bersambung (Bab 2)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan