27 Januari, 2011

GANGGUAN MENTAL SELEPAS BERSALIN

Proses kehamilan dan kelahiran adalah salah satu fasa perubahan dalam kehidupan seorang wanita yang mana ia boleh mendatangkan ketidakseimbangan dalam diri wanita tersebut. Ia boleh dianggap sebagai satu proses kematangan diri, walaupun sesetengah wanita, mungkin menghadapi masalah. Penyakit mental selepas bersalin boleh dibahagikan kepada tiga kategori:
  • Gangguan emosi postpartum
  • Kemurungan postpartum atau meroyan
  • Psikosis postpartum, juga disebut meroya
(Postpartum=waktu selepas bersalin)
Ganguan emosi postpartum
  • Ia berlaku ke atas 25 - 85% wanita yang baru bersalin. Tanda-tanda penyakit ini timbul beberapa hari selepas bersalin dan ia memuncak pada hari kelima. Namun begitu, gangguan emosi ringan ini biasanya pulih dalam masa dua minggu.
Kemurungan postpartum
  • Ianya berlaku di kalangan 10 - 20% wanita selepas bersalin. Gejala-gejala timbul dalam masa sebulan selepas bersalin. Pada kebiasaannya, penyakit ini sembuh dengan tersendiri dalam jangka masa tiga hingga enam bulan, tetapi bagi kes-kes yang berat ia mungkin berterusan sehingga dua tahun.
Psikosis postpartum
  • Keadaan ini jarang dijumpai tetapi serius dan berlaku dalam setiap 500 - 1000 jumlah kelahiran. Gejala penyakit ini timbul dengan pantas dan biasanya timbul beberapa hari sehingga dua atau tiga minggu selepas bersalin. Walaupun begitu,risiko tetap tinggi selepas beberapa bulan kemudian.
Tanda-tanda dan gejala
Gangguan emosi postpartum
  • Kemurungan yang ringan dan emosi yang berubah-ubah
  • Mudah menangis
  • Mudah melenting
  • Gelisah
  • Kurang penumpuan
  • Kurang selera makan dan gangguan tidur
Kemurungan postpartum
  • Perasaan murung
  • Letih lesu dan tidak bermaya
  • Suka memencilkan diri
  • Kerap mengadu akan kurang sokongan sosial
  • Salah faham akan kehendak bayi
  • Kurang penumpuan dan daya ingatan
Psikosis postpartum
  • Gangguan tidur dan perubahan selera makan
  • Mudah resah
  • Berfikir untuk membunuh diri dan melakukan pembunuhan
  • Perasaan dan kelakuan yang pelik
  • Gejala psikosis. Contoh seperti mendengar suara walaupun pada zahirnya tiada orang di sekeliling (halusinasi) atau kepercayaan yang tidak rasional (delusi)
Komplikasi
Bayi-bayi kepada ibu yang menghidapi penyakit mental selepas bersalin kelak berkemungkinan mempunyai masalah dalam emosi, tingkah laku dan pembelajaran. Di samping itu di kalangan kes-kes yang melampau, ibu yang mempunyai penyakit mental selepas bersalin ini boleh mencederakan bayi mereka.
Rawatan
Gangguan emosi ringan postpartum
  • Pendidikan mengenai gangguan emosi ini amatlah penting. Ibu yang diganggu dengan masalah emosi ini memerlukan sokongan daripada ahli keluarga dan juga bantuan dalam mengurangkan punca tekanan psikologi. Ahli keluarga hendaklah membawa ibu untuk berjumpa dengan doktor sekiranya tanda-tanda penyakit didapati semakin teruk.
Kemurungan postpartum
  • Pendidikan, memberi ketenangan dan sokongan terutamanya daripada ahli keluarga adalah amat digalakkan untuk membantu dalam proses pemulihan. Psikoterapi sokongan dan terapi kognitif didapati berkesan, di samping ubat-ubatan yang diberikan dalam kes-kes tertentu. Bagi kes-kes yang teruk, pesakit mungkin akan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan dalam kes begini, perjumpaan antara ibu dan anak digalakkan.
Psikosis postpartum
  • Kemasukan ke wad mungkin diperlukan. Ubat-ubatan diberikan untuk mengawal gejala-gejala. Dalam setengah kes-kes yang teruk terapi "elektrokonvulsif" mungkin diperlukan. Ahli keluarga pula perlu diberi penerangan mengenai penyakit ini.
Pencegahan
Pengesanan awal ke atas ibu yang berisiko untuk mendapat penyakit mental postpartum amatlah penting agar rawatan dapat dimulakan dengan secepat mungkin. Wanita yang dikategorikan sebagai mempunyai risiko yang tinggi termasuk mereka pernah mengalami penyakit mental postpartum, sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental, kehamilan yang tidak dirancang dan kepincangan rumah tangga. Sokongan emosi, rohani, fizikal dan sosial amatlah penting bagi ibu-ibu selepas bersalin sebagai satu aspek pencegahan penyakit mental selepas berkahwin.
Rehabilitation
Kemurungan postpartum
Psikosis postpartum
Kumpulan sokongan
www.postpartum.net


Tiada ulasan: